Selasa, 31 Mac 2009

SEORANG LELAKI DI BAWAH POHON MATI

Dia lelaki, kini tanpa sepatu
melangkah lesu meniti waktu
sambil sesekali menoleh kebelakang
melihat jejak gusar yang tertinggal
menjadi debu di gurun keakraban
setelah lama tiada hujan kesejatian

Kini, dia masih lelaki tanpa baju
mentafsir dingin pada setiap malam
dan dia pernah bersumpah penuh maruah
tentang arah angin seribu penjuru
untuk mengisi hangat ruang
yang selama ini terbahang
oleh kilasan suara sengketa
tanpa peduli bibit-bibit cita
perjuangan air mata dan keringat makna

Dan, kini dia masih seorang lelaki
tanpa punya apa-apa lagi
semenjak mimpi-mimpi janji
lenyap dalam jaga siang
di bawah pohon yang telah mati
menanti tumbang menyembah bumi

Dia masih seorang lelaki
tanpa punya jati diri !

Ahad, 29 Mac 2009

Mainan Rasa

LENTERA MERDEKA DALAM SINAR MAKNA

Kemerdekaan ini semakin gelap pengertiannya
umpama jalan liku yang begitu halus memesongkan
arah cahaya benar di setiap persimpangan rasa
setelah sekian lama kematian pejuang merdeka
seakan tidak ada lagi nilai nostalgianya,
dalam sejarah yang buta tanpa peduli ini

Kesesatan pun menjadi semakin panjang
mengundang segala gundah penilaian suci
mencari jalan pulang yang tidak lagi kelihatan
dipenuhi belukar kemelut jiwa dan rupa
dengan subur semak samun keasyikan yang palsu
dan akhirnya, kita terluka oleh duri-duri waktu
pada pertemuan Ogos yang tidak jemu-jemu
memberi kita tafsiran baharu

Kita pun memasang lentera merdeka
untuk cuba menerangi jalan yang kesamaran
pada malam-malam yang kita tangisi
tanpa ada lagi air mata dan esak curiga
kerana telah kering pada kesiangan tadi
dalam oleng resah bahang mentari keliru
di penjuru makna yang semakin hilang

Kita sedayanya menentukan langkah
dengan lentera merdeka di tangan amanah
menyusuri warisan dan masa depan
melalui seribu persoalan yang terpendam
untuk memaknakan kemerdekaan
sebagai satu kelangsungan wasiat moyang
dan perintah tuhan.

Cahaya lentera merdeka kian pudar
ditelan sinar makna yang dalam.

Sebuah kisah

PEMAIN DERHAKA

Bicaranya cuma angin
bertiup dari selatan entah ke mana
membawa debu yang dikutip
melalui tanah merah kering
yang selama ini terbiar
dengan hakisan waktu

Katanya semudah alir air
sifatnya sungai rasa
menuruni lereng ke lereng juang
dan sesekali menerpa batu
atau tebing yang telah lama
menunggu runtuh berderai
mengeruh jernih buih-buih air
terpinggir berbuak-buak
mengapung di setiap sisi akar
berjuntaian tanpa pautan

Lalu melaung desaknya
menghunus keris amarah
yang tidak ada lagi tajamnya
untuk menikam kawan!

Kula Lumpur
Februari 2009

Jumaat, 27 Mac 2009

Ja’afar Haji Hamdan


APA LAGI
(mengenang nasib saudaraku di Palestin)


Apa lagi yang mahu aku katakan
dalam resah semakin bungkam
pada setiap wajah yang penuh duka
merenung mentari tanpa erti
setelah darah bukan lagi nilai
menyatakan perit yang amat sakit.

Apa lagi yang dapat aku katakan
di setiap sisi kemanusiaan yang hilang
bersama tangis yang kering
mengisi sepi malam penuh dendam
tanpa mengira siapa yang terhumban
menjadi korban kerakusan nafsu syaitan

Apa lagi yang hendak aku katakan
selain membisu dalam seribu malu
pada diri kita yang lesu
mentafsir karenah makna
manusia yang telah menjadi HANTU!

15 Januari 2009

SATU RENUNGAN

SEBUAH GENTAYANGAN DI MUKA MELAYU

Siapa lagi percaya
sebuah gua nan dalam
di bawah kaki yang berdiri
dan rumput yang menyubur
ada lautan suara bergelandangan
berbisik tentang kematian rindu
setelah satu persatu tubuhnya
diperkosa tanpa makna

Siapa lagi mengerti
perjalanan membuka langit
di atas awan yang kelabu
dan langit biru yang kosong
setelah gelora mentari tiada lagi
mengundang risik-risik angin
meramas wajah siang alam
yang semakin hodoh
dimamah kedut nafsu

Siapa lagi yang tidak memahami
gentayangan harga diri
masih milik Melayu
yang hilang peribadi
dengan membogelkan
maruah Melayu itu sendiri!


Ja’afar Haji Hamdan
11 Februari 2009, Kuala Lumpur