Isnin, 31 Ogos 2009

LENTERA MERDEKA DALAM SINAR MAKNA

Kemerdekaan ini semakin gelap pengertiannya
umpama jalan liku yang begitu halus memesongkan
arah cahaya benar di setiap persimpangan rasa
setelah sekian lama kematian pejuang merdeka
seakan tidak ada lagi nilai nostalgianya,
dalam sejarah yang buta tanpa peduli ini

Kesesatan pun menjadi semakin panjang
mengundang segala gundah penilaian suci
mencari jalan pulang yang tidak lagi kelihatan
dipenuhi belukar kemelut jiwa dan rupa
dengan subur semak samun keasyikan yang palsu
dan akhirnya, kita terluka oleh duri-duri waktu
pada pertemuan Ogos yang tidak jemu-jemu
memberi kita tafsiran baharu

Kita pun memasang lentera merdeka
untuk cuba menerangi jalan yang kesamaran
pada malam-malam yang kita tangisi
tanpa ada lagi air mata dan esak curiga
kerana telah kering pada kesiangan tadi
dalam oleng resah bahang mentari keliru
di penjuru makna yang semakin hilang

Kita sedayanya menentukan langkah
dengan lentera merdeka di tangan amanah
menyusuri warisan dan masa depan
melalui seribu persoalan yang terpendam
untuk memaknakan kemerdekaan
sebagai satu kelangsungan wasiat moyang
dan perintah tuhan.

Cahaya lentera merdeka kian pudar
ditelan sinar makna yang dalam.

Khamis, 27 Ogos 2009

KAWAN AKHIR ZAMAN

Kawan di akhir zaman ini
Payah untuk kita ketemui
Yang benar-benar sibuk
Dengan urusan baiki diri nya
Yang ada kini hanya
Sibuk dengan urusan mengumpul dunia
Walau di ketahui dunia ini hanya menipu daya..

Kawan di akhir zaman ini
Payah untuk kita ketemui
Yang bergelumang dengan majlis ilmu menafaat
Yang sanggup bersusah dan penat
Dalam mengejar dan memahami ilmu manfaat
Yang ada kini hanyalah
Berbangga dengan ijazah yang menjela
Tapi ilmu fardhu Ain nya kosong belaka

Kawan di akhir zaman ini
Payah untuk kita ketemui
Ahli profesional yang bertaqwa
Yang benar-benar meletakan Islam di jiwa
Menggunakan profesionnya sebagai matlamat ke akhirat sana
Yang ada hanya ahli profesional yang lalai dan leka
Yang hidup nya lebih barat dari barat
Ibadah dan amal terasa amat berat
Kawan di akhir zaman ini
Payah untuk kita ketemui
Yang bersilaturahim kerana tiada kepentingan
Yang berhubung hanya niat bertanya khabar
Yang ada hanya
Yang berkroni untuk mendapat projek yang sedia ada
Bersahabat untuk mendapat laba

Kawan di akhir zaman ini
Payah untuk kita temui
Yang suka berbincang mengenai dosa-dosa sendiri
Yang menghidupkan ilmu yang ada
Yang mensyiarkan Islam pada diri mereka
Yang ada hanyalah
Yang suka berbincang dosa-dosa orang lain
Yang menghidupkan ‘sunnah’ barat
Yang melupakan kehidupan akhirat

Kawan di akhir zaman ini
Susah untuk kita temui
Yang menjadikan masjid tempat pertemuan
Yang menjadikan program usrah tempat berkenalan
Yang ada hanya
Yang menjadikan kompleks tempat membuang umur
Yang menjadikan disko dan pesta sebagai tempat berhibur

Kawan di akhir zaman ini
Susah untuk kita temui
Yang menjadikan sunnah sebagai hiburan
Menjadikan nasyid nyanyian harian
Menjadikan selawat ucapan kelaziman
Yang ada hanya
Artis di jadikan bahan pujaan
Nyanyian melalaikan dijadikan hiburan
Dianggap moden dan berketerampilan

Kawan di akhir zaman ini
Susah untuk kita temui
Yang senantiasa merasai mati itu sangat hampir
Yang senantiasa merasai jelingan Izrail
Menangis cemas mengenangkan saat kematian
Merintih sayu mengenangkan persediaan
Yang ada hanya
Yang panjang angan-angan
Mengumpul dunia kerja seharian
Seolah kematian itu sangat jauh
Seperti alam barzakh itu tidak ditempuh

Rabu, 26 Ogos 2009

RAMADAN 2

Dengan nama-Mu
nafas ini kuhembus
menyelinap segenap rasa
mencari makna setia
dan kasih yang tidak putus-putus
merayu.

Dan, kala yang sepi
menjadi aku perindu malu
mengenang kejahilan diri
mengintai waktu-waktu
yang telah berlalu

Tuhan,
laman Ramadan-Mu
membuka wajah
keampunan dan penyayang.

Ahad, 23 Ogos 2009

RAMADAN

Bagai cahaya
menembusi gelap
dengan harum
wangi mesra
yang menusuk
rasa hiba
sebuah keinsafan

Bagai sinar
menerangi kelam
dengan suci
abadi cinta
yang menunas
makna rindu
sebuah kerahmatan-Nya

Aku tertunduk
mentafsir waktu...

Khamis, 20 Ogos 2009

KULAMAR RAMADAN-MU

Dengan lafaz
suci dan rendah diri
aku lamar kasih
Ramadan yang dirindui
penuh cita rasa
gelora seorang hamba
mencari cinta-Mu

Dengan lafaz ini
aku mohon makna diri
terbuai dengan belai
sebagai kekasih
yang amat menyayangi
pertemuan sebegini

Aku terima
lamaran Ramadan
dengan ucap pasti
"Dengan Nama Allah"

Rabu, 19 Ogos 2009

DALAM DIAM 2

Terkadang rasa
bungkam saksi
dari sebuah mimpi
dalam diam
yang panjang

Dan, resah ini
bukan lagi
pada malam
tetapi pasti
di siang hari

Maka, aku wajar diam
dalam gelora yang membeku!

Isnin, 17 Ogos 2009

DALAM DIAM

Angin membisu
tika awan menapak
dalam kalbu
yang sayu

Wajah langit
hilang biru
dalam gamit
senja yang pulang

Kini diam
merenung diri
semakin mengerti
makna sepi

Ahad, 16 Ogos 2009

DAERAH DIAM 5

Dalam diam ini
terusik rasa makna
tentang sepi kalam
yang tak terucap
oleh kerinduan
maha amat
kepada-Nya

Dalam diam ini juga
hangat alir air mata
mengajar aku
mengenal siapa
dalam kembara
ke daerah yang abadi
nan satu!

Selasa, 11 Ogos 2009

DAERAH DIAM 4

Cicir erti
dalam gaung rasa
bersama bicara
tentang cinta
dan rindu semalam

Kini hanya sepi
menemani tika
yang kematian makna

Isnin, 10 Ogos 2009

DAERAH DIAM 3

Butir kata
pecah derai malu
melukakan hati
di kaki harga diri
dan bisanya
amat pedih
dalam bungkam
waktu begini
di daerah sepi

Kini aku kutip
dalam lara yang panjang
kerana tertikam bicara
seorang sahabat!

Ahad, 9 Ogos 2009

DAERAH DIAM 2

Telah tiada makna
dalam bicara diam
ketika berdepan tafsiran
antara yang benar
juga yang keliru
tentang hidup

Telah tiada erti
dalam kata bisu
walau terpapar resah
antara yang pelik
juga yang aneh
tentang hidup

Khamis, 6 Ogos 2009

JALAN KE DAERAH DIAM

Jalan ke daerah itu
sunyi telah mati
tanpa tanda
ada degup lagi
setelah embun pagi
kembali sejat
meniti hari
kesiangan tadi

Kini aku diam
dalam getar
ke daerah-Mu
dengan malam
cukup syahdu

Selasa, 4 Ogos 2009

HAKIKAT SEBUAH MAKNA

Jalan liku
telah lama mati
apabila nafas suci
meniup celah nadi
tentang harap
yang muncul
bersama reda takwa
kepada-Nya

Kini jalan pasti
menanti setia
penuh makna
dalam hakikat
cinta kepada-Nya

Isnin, 3 Ogos 2009

DALAM KAPAL TERBANG

Sebegini memerhati kepulan awan menyindir
dalam desus nafasnya aku duduk terkaku
dan terpanggil merenung kepulan resah
wajah raya langit kelabu mengundang angin celaru
antara dengar dan pandang aku yang keliru

Senyum gadis manis pelayan mewah
terukir penuh sinis dalam paksa diri
adalah rela yang tumpah bersama gaya kerjaya
mengisi ruang perjalanan minat dan mimpi citanya
maka aku tidak peduli pelawaan tanpa rasa
kerana aku masih mahu duduk terkelu
tanpa menyatakan apa-apa ketidakpastian jitu
di sebalik kemelut waktu dan usia
antara mahu dan malu aku seorang lelaki

Jenuh duduk tanpa suara
aku sekadar menelan liur perit
terkumpul sejak diam menerpa
dan aku mengintai gelora gundah
yang masih belum reda-reda
mendesak-desak memalit
memanggil asyik yang bungkam
walaupun tiada apa lagi
pengertian untuk aku rungkaikan
antara suka dan duka
aku yang berkelana

Duduk aku pun mula lesu
menggamit lelap yang yakin
tentang diri bermain teka teki
dengan hidup dan mati
dalam kelu dan kaku duduk sebegini
aku amat yakin belum bersedia
menunaikan janji

Ampunkan dosa aku ini tuhan,
kerana aku yang kerap lupa
duduk di sini tanpa mahu berdiri lagi !

3 Mac 2009
Kuala Lumpur

Ahad, 2 Ogos 2009

AKU DI KOTA BERNAMA KUALA LUMPUR

Aku di kota Kuala Lumpur
melangkah dengan tekaan celaru
mencari arah dengan persoalan demi persoalan
dan aku temui jawapan yang tidak pernah jujur
kerana di kota Kuala Lumpur ini
aku diajar mencaci dan memperli
memerhati dan meneliti
kerana jalan yang terdampar nyata
teramat luas dengan goda menduga
teramat dekat dengan puja harta benda
hingga aku keletihan bertanya.

Aku di kota Kuala Lumpur
masih juga mahu begitu pasti
membina kehidupan tanpa suram bangga
agar keinsanan yang sering pura-pura
tidak meleburkan aku dalam jitu janji
dan aku perlu mempelajarinya dengan tekun
atau aku akan terhumban dalam kebuluran
yang amat menyeksa.

Kini aku masih setia di kota Kuala Lumpur
ditimbuni keliru waktu yang melulu
antara siang dan malamnya tanpa beza
menerjah dalam setiap detik penilaian
dengan kerlipan neon kebebasan
juga debu-debu keterbukaan
dan aku benar-benar menjadi keliru
tentang di mana keberadaan aku di sini
membina sebuah kehidupan
bersama-sama anak isteri
yang belum mengerti

Apakah aku masih di kota Kuala Lumpur ini
bermimpi dalam budaya realiti
memanjang sehingga di hujung hari?

7 April 2009
Jalan Dewan Bahasa
Kuala Lumpur