Rabu, 29 Julai 2009

SESINGKAT WAKTU HUJAN UNTUK DIMENGERTIKAN

(Buat generasi muda dengan Ogos yang mendatang)

Mengira waktu dalam lebat hujan bulan Ogos
payahnya bagai menghitung jatuhan di takungan resah
yang semakin tidak dipedulikan oleh perit kecelaruan
pada jalur-jalur titisan di wajah perjuangan
kerana desir angin yang hadir dari setiap penjuru keliru
telah menjadi laungan asyik yang penuh sangsi
mengisi ruang kejituan makna sebuah kemenangan

Lantas, seorang lelaki menetapkan pendirian diri
dengan segala kebasahan yang amat kuyup
mengisi segenap slogan dan pengertian kedinginan
yang hampir membungkam sejarah silam dalam banjir rasa
dan pada suasana yang sesingkatnya itu,
dia menjadi kosong dan tidak lagi berjiwa

Kemudian, seorang wanita membuka payungan peribadi
untuk cuba menyembunyikan keghairahan yang walang
meniti satu titik ke titik pemurnian tanpa soal
dengan kalimat serta madah keindahan
kisah demi kisah nenek moyang
dan dia akhirnya menjadi tersipu malu
tanpa maruah dan harga diri

Kini, lelaki dan wanita itu masih dalam kehujanan
di sebalik muka hari yang mula menampakkan kebiruan
dan mereka membuat janji setia
mengukir sumpah perjuangan
di celah-celah waktu yang sesingkat itu
pada senja Ogos tanpa pengertian baru!


April 2009
Kuala Lumpur

Selasa, 28 Julai 2009

KALAM MAKNA

Dalam makna
menikam bicara
dan tusuknya
bisa sindir
yang perit

Kini mengalir
darah maruah
tumpah basah
dalam merah
kalam hilang

Ah, aku bisu
dalam suara satu!

Khamis, 16 Julai 2009

MARWA AL-SHARBINI

Telah kau buktikan
cinta yang satu
pada-Nya
walau tersentak nafas
dan roh tercabut
dengan paksa
nan kejam

Kau srikandi suci
penuh cahaya iman
dalam gelap perjalanan kami
yang masih tercari-cari
arah tuju yang sejati!

PEMAIN BUTA DI SIANG HARI

Ini adalah gelanggangnya
tempat mainan segala
tidak peduli sesiapa
asal ada peranan dan cita
menapak penuh bangga

Ini laman kesukaannya
ke sana sini memerhati
meneka dan bertanya diri
untuk kesekiankali memeri
makna nafas yang pasti

Ini permainannya
waktu kesiangan
walau buta mentafsir
antara fikir dan fakir
kerana malamnya
hanya untuk tidur
dengan mimpi
yang tidak pernah
jadi realiti!

Rabu, 15 Julai 2009

AKU SENDIRI LAGI

Aku sendiri lagi
di malam sepi ini
tanpa bulan dan bintang
hanya ada rindu

Aku sendiri lagi
membuai mimpi ini
tanpa lena yang nyaman
hanya ada rasa

Mengapa ada gundah
melantun dalam kalbu ku
mengapa ada resah
bergelora dalam benak ku

Andainya nanti diri mu pergi meninggalkan ku
akan ku jadikan kenangan kita seindahnya bagi ku

Isnin, 13 Julai 2009

SERATUS YANG PULUS

Aku kira
cukup begini
mengira nilai 100
bagai runtuhnya
langit imbuhan
dengan hujan tawa
membasah segala
yang pandai
mengadu domba

Ini adalah
seratus yang pulus
penuh janji
yang mulus!

Ahad, 12 Julai 2009

HUJUNG DAN PANGKAL

Di hujung sana
ada pulau subur
penuh bunga
laman bangsa

Di pangkal ini
ada akar teguh
kuat memaut cita
perjuangan rasa

Khamis, 9 Julai 2009

SATU CAWAN

Ini satu cawan
ada kopi campur teh
tapi kurang gula
banyak susu
agak pekat
penuh likat

Satu cawan ini
bukan untuk seorang
tapi bahagi ikut rasa
kadang-kadang suka
ada waktu tak lalu
kerana kalau manis
tiba penyakit
kalau pahit
kurang enak

Maka, secawan yang satu ini
berikan saja kepadanya,
walau kita haus
dalam ketawa!

Rabu, 8 Julai 2009

DALAM YANG CETEK

Dalam lemas
getar desah
meranap fikir
dan putus asa
hingga menjadi-jadi
lagu pilu
mencari nafas benar
dalam laut hidup

Timbul di muka
rupanya cetek saja
dan resah tadi
hanya satu janji
yang sentiasa
meniti setia
dengan tipu daya
seorang bernama
perjuang bertopeng
penderhaka bangsa!

Selasa, 7 Julai 2009

HUJAN YANG MEMBASAHKAN MALAM

Malam telah basah
waktu hujan siang
dengan gamit dingin
menusuk-nusuk
dalam debar rasa
menanti esok

Malam kian kuyup
ketika dinihari
tanpa fajar resah
dan akhirnya
aku bernafas
dengan cinta-Mu

Isnin, 6 Julai 2009

DAERAH NAN MEMULAS AKAL MATI

Aku kira
perjalanan ini sepi
andai hanya
ditemani angin
dan tentu
dinginnya meresap
menjadi darah
yang mengalir
dalam urat nafas
ke tujuh.

Ahad, 5 Julai 2009

SEDALAM DESAHKU

Semalam ada pesta
makan minum percuma
dalam gelak tawa
gurau kata
dan sesekali
jeling manja

Semalaman itu
tiada batas bicara
atau makna malu
menjana nafsu,
kerana pesta ini
julung kali
tersedia percuma
minuman kencing
dan daging saudara
yang telah mati
dimamah malapetaka!

Khamis, 2 Julai 2009

MALAYSIA YANG SATU


Setahuku
Malaysia hanya satu
tak pernah dua
atau tiga

Semahuku
Malaysia jadi satu
jangan terbahagi dua
atau pecah tiga

Sejatinya
Malaysia itu satu
bukan dua makna
atau tiga tafsirnya

Sejelasnya
Malaysia memang satu
tetapi tertipu dua
menjadi tiga!

Rabu, 1 Julai 2009

RASA PENUH CINTA

Ada rasa
penuh cinta
pada setiap kata
kerinduan pada-Nya
Ada rasa
penuh kasih
untuk setiap bicara
keinginan pada-Nya
Ada rasa
penuh segala
hanya bagi-Nya