Rabu, 27 Januari 2010

DALAM DIAM 5

Aksara rasa
mati tertikam makna
sewaktu amarah bertitah
atas kalimah keagungan

Lalu, setiap butir bicara
berjatuhan dan bertaburan
sekeliling nafas yang diam
dengan tanda kematian!

Isnin, 25 Januari 2010

BAHASA YANG BASAH

Kemarau yang tiba
di ladang bangsa
mengering segala
hijau rasa
dalam tunas bahasaku
yang masih setia
menjejak langkah
yang ditinggalkan
pada musim bunga bangga
ketika menyubur segar

Dalam kemarau itu
bahasaku tetap gagah melangkah
sambil membawa bejana perjuangan
dari perigi akar bangsa
yang telah zaman-berzaman
membasah rongga bicarabangsaku yang satu

Bagi bahasaku
perjalanan ini perlu diteruskan
walaupun bakal kudrat
cuma sebejana cita
ketika merentas gurun gusar
yang dipenuhi debu pemodenan
dengan angin globalisasi
meniup segenap penjuru pembangunan

Sesekali bahasaku tersungkur
apabila langkah martabat
tersandung akar malu
tentang yakin bahasaku
masih belum mampu
membawa arah tuju bangsaku yang satu

Tetapi bahasaku tidak resah
pada setiap waktu pasrah k
erana bahasaku adalah aku
dari bangsa yang satu

Nah, bahasaku masih basah di bibir yang rekah!

Ahad, 24 Januari 2010

ATAS NAMA "152"

Darah dan air mata
telah bersaksi
mengisi sejarah
dengan penuh makna
atas nama perjuangan

Dan kini,
kita julang
wibawa bangsa
atas nama tanda
"152"

Rabu, 20 Januari 2010

DALAM DIAM 4

Suara luka
ada alir darah
mengisi esak resah
ketika malam sepi

Lalu, aku membisu
dalam belantara makna
diamku ini.

Rabu, 13 Januari 2010

DALAM DIAM 3

Ombak rasa
kian bergelora
meramas kasar
pantai damai
hingga tercalar
pepasir putih
penuh lumpur
dan siput waktu
terdampar lesu
menjadi bisu
dalam kelelahan ini

Dalam diamku,
mengutip makna
di pantai yang sama
terasa amat
akulah sesiput itu
yang kini beradu
melihat jemu
pulang bersama senja

Diamlah, pintanya!

Selasa, 12 Januari 2010

SEJENAK YANG LUKA

Aku kira waktu itu
masih mahu berbicara
soal cinta dan rindu
tentang duka dan lara
tetapi aku diam
atas rasa damai
yang cukup wangi
hadir bersama
angin kefahaman
kehidupan

Namun, tersentak niatku
dalam sejenak yang luka
oleh tikaman nafsumu
yang melulu

Aku jadi amat benci
pada makna damai ini!

Isnin, 11 Januari 2010

DI ATAS TELAPAK TANGAN

Telah terbentang
seluas telapak tangan
menyambut janji
dari perjalanan panjang
dengan cerita darah
dan perit air mata
hingga lenyap jiwa
menjadi titik sejarah

Lalu, setiap tangan
erat memaut waktu
menyimpan rasa mulia
penuh erti
mengisi setiap prasangka,
dendam dan sengketa

Dalam ketawa
tanpa gurau
telah diletakkan
janji mati
di atas telapak tangan ini!

APA KIRANYA KAMU MATI SAHAJA!

Telah kau buka
segala pintu makna
dengan seluas-luasnya
membiar angin rasa
terdampar menepis dedaun
yang sekian lama
dimamah layu waktu

Pesanku pada kamu,
apa kiranya,
kamu mati sahaja!

Khamis, 7 Januari 2010

SEORANG ANGLOPHILE YANG KEMATIAN BAHASA

Dia seorang wajah Melayu
meniti jalan di tanah Melayu
dengan isi waktu nafasnya di persada Melayu
mencari makna hidup pada alam Melayu
dan kini menjadi pemimpin ulung Melayu

Dia masih sesekali berbaju Melayu
bergaul mesra ala masyarakat Melayu
memintal senyum melirik mirip Melayu
bersalam-salam pun cara Melayu
dan namanya masih jelas nama orang Melayu

Dia kini makin tinggi dijulang Melayu
dengan melakon watak panglima Melayu
menghunus keris lambang kedaulatan Melayu
melaung sumpah ketuanan Melayu
dan dia masih mahu mengaku diri Melayu

Namun, dia hanya seorang ANGLOPHILE
yang lenyap pengertian Melayu
setelah senang menggadai maruah Melayu
dan mempertaruhkan peradaban Melayu
atau kesaktian jati diri Melayu
di negaranya sendiri.

Kini dia hanya seorang Melayu
yang kehilangan satu persatu
dalam makna matinya
bahasa ibunda
dalam leka yang maha Melayu

Rabu, 6 Januari 2010

DAMAI YANG HILANG

Dengan seribu makna peri
manikam cahaya bugar
menyilau gerak derhaka
mematikan langkah damai
dalam gelut nafsu biru
penuh dendam
hingga melenyapkan
pesan nenek moyang
yang tertinggal semalam

Kata anakku,

"bapa, kita telah hilang diri
dalam pengertian damai ini"

Selasa, 5 Januari 2010

JANGAN

Berapa kali mahu kuulang
jangan begitu,
kamu mengundang sengketa;

bahang mula berapi
salji mula mencair
langit makin kelabu
awan menjadi batu
laut bergelora gila
pohon tumbang melata

Jangan, kataku lagi

JANGAN!

Ahad, 3 Januari 2010

MENTARI JANUARI

Semalam hujan
bersama dingin
mengusap akrab
kesepian yang setia
menanti gamit
Januari

Dalam kantuk
cahaya rasa
mengintai
di hujung makna
dengan hadirnya
mentari
sepagi ini.

Aku kentalkan semangat
dalam niat diri
meniti janji
bermulanya Januari!