Khamis, 29 Oktober 2009

BERMAIN API

Aku kira
ikatan ini
jalinan setia
meneguh rasa
keakraban kita

Aku jangka begitu
kerana nafas perjuangan
masih berdenyut
bersama nadi keintiman
dan kita terpesona
membina mercu tanda
keagungan

Aku sedar,
kita cuma
bermain api
di laman peribadi.

Rabu, 28 Oktober 2009

MEMBACA SEPI

Membuka
lembaran sepi
banyak cerita sunyi
yang kadang-kadang
menjelma rasa
ketakutan

Dari bab ke bab
ada makna kelam
ada erti suram
tentang zaman
kehancuran

Kini sepi
masih setia
membilang dosa
dan juga pahala

Selasa, 27 Oktober 2009

SEBUAH IMPIAN YANG MENJADI MIMPI

Di ranjang alam
terhampar cita hidup
penuh impian
dengan bunga rasa
mewangi segenap makna

Namun kantuk
sentiasa setia
menemani detik
yang sepi
dan aku terlena
dalam impian
sebuah mimpi!

Isnin, 26 Oktober 2009

TELAH HAMPIR MALAM

Seketika membuka hari
telah terbentang nyata alam
dengan deru hidup
membawa nafas makna
pada setiap jejak kebenaran

Kini, perjalanan makin jauh
mencari harga diri
dalam waktu yang kian dekat
menghampiri malam!

Ahad, 25 Oktober 2009

BIAS RINDU

Kesepian ini
mengajar erti rindu
yang amat
dalam kecintaan
aku seorang insan
terkelu dalam makna
bias rasa

Aku, semahunya
meneka maksud kamu
sewaktu mengukir senyum
dalam jeling manja!

Khamis, 22 Oktober 2009

LAFAZ DI ATAS AMARAH

Andai gelora ini bertandang
akan tenggelam segala makna
dan terdampar lemas kejiwaan
tanpa sesiapa pun mengerti
perit di atas nama kedustaan

Maka, hentikan lafaz itu
sebelum amarah bangkit
melenyapkan akal kecintaan!

Rabu, 21 Oktober 2009

BICARA SINGKAT YANG MENGUNDANG RASA

Cukup singkat bicara kita
bertanya tentang khabar
antara hidup kamu dan aku
yang telah sekian lama berbeza
arah dan tuju

Cukup singkat kita meneka
rasa yang selama ini bergelora
dalam sangsi yang tiada jawapan
atau juga persoalan yang tiba-tiba
mengetuk jiwa kemesraan kita
selama ini

Cukup singkat untuk kita
memahami erti cinta
yang pernah bertandang jitu
di penjuru hati
yang telah mati!

Ahad, 18 Oktober 2009

AKU PUN MENJADI RINDU

Apabila aku buka muka hari
dengan seri mentari pagi
aku harap tengah hari nanti
kesiangan yang berbahang
memberi kesegaran berbalam
untuk aku menerjah jiwa makna
sebuah kecintaan.

Khamis, 15 Oktober 2009

SELEPAS DISEMBER

Aku mahu tahu
bulan apa selepas Disember
pada tahun yang sama
agar mampu aku catatkan kata
seperti biasa memintal azam
yang penuh janji dan mimpi

Aku masih ragu
apa bulan sebelum Disember
yang rela menilai semula
makna diri dan suasana
dalam kesangsian nyata
tentang harga sebuah cerita

Aku kira,
Disember cuma bulan
yang tidak pernah berakhir
dalam igau manusia!

Rabu, 14 Oktober 2009

SESUDAH MEWARNA LANGIT

Dengan awan putih
mencorak makna langit
dengan seluruh alam
mewarna hidup
dalam damai nyaman

Namun, hujan pagi
tidak berhenti-henti
setelah mendung rasa
sentiasa mengundang leka
dalam asyik yang panjang

Pada langit ini,
ada cerita pada warna
yang tidak pernah habis
dilakar kepuasan!

Isnin, 12 Oktober 2009

RESAH DI PENGHUJUNG MALAM

Sepi meniti malam
pada bisik bayu
adalah resah yang panjang
menghimpit gelora makna
kesangsian ini

Aku, masih meneka
dalam waktu sebegini
apakah ada
pada setiap penghujung
yang bernama malam
kesyahduan!

Ahad, 11 Oktober 2009

SESUATU KEMUNGKINAN

Bintik makna
menusuk dalam
perkiraan lesu
di setiap waktu
semusim lalu

Dan, kekeringan
telah menukar
warna hidup
menjadi kelayuan!

Rabu, 7 Oktober 2009

DEBAR SEMALAM

Kenangan luka
kini perit kembali
menerjah makna
sebuah sepi
seorang pengembara
kerinduan

Kini, hari-harinya
menjadi sebuah debar
yang sentiasa mengejutkan!

Khamis, 1 Oktober 2009

ANTARA YANG TERPADAM

Cahaya cinta
menerangi kerinduan
dalam sukma rasa
keagungan-Nya

Kini, silau asmara
yang leka membelai
makna kekasih
terpadam dalam hujan
sejak semalam!