Ahad, 26 April 2009

SEBUAH CETERA POLITIK MALAYSIA



SEBUAH GENTAYANGAN DI MUKA MELAYU

Siapa lagi percaya
sebuah gua nan dalam
di bawah kaki yang berdiri
dan rumput yang menyubur
ada lautan suara bergelandangan
berbisik tentang kematian rindu
setelah satu persatu tubuhnya
diperkosa tanpa makna

Siapa lagi mengerti
perjalanan membuka langit
di atas awan yang kelabu
dan langit biru yang kosong
setelah gelora mentari tiada lagi
mengundang risik-risik angin
meramas wajah siang alam
yang semakin hodoh
dimamah kedut nafsu

Siapa lagi yang tidak memahami
gentayangan harga diri
masih milik Melayu
yang hilang peribadi
dengan membogelkan
maruah Melayu itu sendiri!

Khamis, 23 April 2009

MENTAFSIR CINTA



Pejamkan matamu kasih
ketika kita diulit sepi;
hasratkan di hujung impi
tentang kau dan aku
bersatu dalam pasti

Padamkan resahmu kasih
sewaktu kita dibakar rindu;
bayangkan membara rasa
tentang kau dan aku
bersua penuh mesra

Beginilah kita membina cinta
sebuah makna;
walaupun payah meneka duga
hingga memaksa kita
disapa curiga,
di ruang asmara
untuk memintal setia
dalam mentafsir cinta
yang sejati,
suci dan abadi
kepada-Nya.

KETIKA SENYUMMU BERPERI



Betapa indahnya, ketika kau layangkan senyuman, sekalipun bukan untukku, tapi aku rindu, untuk berkali menghayatinya.

Betapa manisnya, ketika kau lirikkan senyuman, sekalipun bukan bagiku, tapi aku mahu, untuk berkali menatapinya,

Betapa ayunya, ketika kau lemparkan senyuman, sekalipun bukan padaku, tapi aku restu, untuk berkali menjiwainya.

Senyummu itu, lelagu di malam syahdu, saljuku di dingin sendu dan nafasku dalam rindu.

Maafkan aku, andai senyum itu, bukan milikku.

RAMA-RAMA



Warna hidup adalah keindahanmu, meniti waktu yang melulu, dengan sangka dan payah kitaran alam, dengan seribu seri asyik menilai, juga sejuta makna menduga.

Corak aksi adalah keunikkanmu, menebar rupa yang ampuh, dengan duga dan upaya pesona mata, dengan gagah warni asmara, juga sombong yang alpa.

Keindahan itu, menjadi tanda mati buatmu!

SEORANG ANGLOPHILE YANG KEMATIAN BAHASA



Dia seorang wajah Melayu
meniti jalan di tanah Melayu
dengan isi waktu nafasnya di persada Melayu
mencari makna hidup pada alam Melayu
dan kini menjadi pemimpin ulung Melayu

Dia masih sesekali berbaju Melayu
bergaul mesra ala masyarakat Melayu
memintal senyum melirik mirip Melayu
bersalam-salam pun cara Melayu
dan namanya masih jelas nama orang Melayu

Dia kini makin tinggi dijulang Melayu
dengan melakon watak panglima Melayu
menghunus keris lambang kedaulatan Melayu
melaung sumpah ketuanan Melayu
dan dia masih mahu mengaku diri Melayu

Namun, dia hanya seorang ANGLOPHILE
yang lenyap pengertian Melayu
setelah senang menggadai maruah Melayu
dan mempertaruhkan peradaban Melayu
atau kesaktian jati diri Melayu
di negaranya sendiri.

Kini dia hanya seorang Melayu
yang kehilangan satu persatu
dalam makna matinya
bahasa ibunda
dalam leka yang maha Melayu

Rabu, 22 April 2009

DALAM KAPAL TERBANG

Sebegini memerhati kepulan awan menyindir
dalam desus nafasnya aku duduk terkaku
dan terpanggil merenung kepulan resah
wajah raya langit kelabu mengundang angin celaru
antara dengar dan pandang aku yang keliru

Senyum gadis manis pelayan mewah
terukir penuh sinis dalam paksa diri
adalah rela yang tumpah bersama gaya kerjaya
mengisi ruang perjalanan minat dan mimpi citanya
maka aku tidak peduli pelawaan tanpa rasa
kerana aku masih mahu duduk terkelu
tanpa menyatakan apa-apa ketidakpastian jitu
di sebalik kemelut waktu dan usia
antara mahu dan malu aku seorang lelaki

Jenuh duduk tanpa suara
aku sekadar menelan liur perit
terkumpul sejak diam menerpa
dan aku mengintai gelora gundah
yang masih belum reda-reda
mendesak-desak memalit
memanggil asyik yang bungkam
walaupun tiada apa lagi
pengertian untuk aku rungkaikan
antara suka dan duka
aku yang berkelana

Duduk aku pun mula lesu
menggamit lelap yang yakin
tentang diri bermain teka teki
dengan hidup dan mati
dalam kelu dan kaku duduk sebegini
aku amat yakin belum bersedia
menunaikan janji

Ampunkan dosa aku ini tuhan,
kerana aku yang kerap lupa
duduk di sini tanpa mahu berdiri lagi !

Selasa, 21 April 2009

PENGEMBARAAN TAFSIR

Perjalanan yang jauh
bagaikan pengembaraan tafsir
dengan liku dan penemuan rasa
melihat langkah dalam waktu
senang ditemani lelah dan goyah
dan ada kalanya duduk menyandar
melepas keluh perlahan-lahan
pada perkiraan sukar lagi payah
dalam erti pancaindera nyata –
sedangkan semuanya itu jelas
hanya sebuah perjalanan
di tanah subur bermakna

Setiap perhentiannya
bagaikan kesudahan yang pasti!

Isnin, 20 April 2009


CERITERA RUMAH KACA

Sudah berkali-kali aku berpesan
kalau mahu membina rumah kaca
jangan biarkan anak-anak kecil itu
bermain di dindingnya
kerana mereka tidak mampu
menatap wajah-wajah retak
yang terlepas pegangan
dimamah silau mentari
bersinar keasyikan
Sudah berkali-kali aku mengingati
kalau mahu membina rumah kaca
kutipkan segera kecaian rasa
yang bertaburan
dari terbiar berselerak
di lantai jiwa
kerana anak-anak itu
belum mengerti makna berlari
dan tentunya nanti terluka kaki
ketika menuju ke muka pintu
yang terbuka dipaut angin.
Sudah berkali-kali aku ulangi
kalau rumah kaca ini
tetap juga mahu dibina
rapatkan daun pintu ini
dengan takwa
kemudian kuncikan
dengan rantai iman
agar anak-anak kecil itu nanti
tidak bisa terlepas
kerana di luar rumah kaca
ada saja yang mengundang walang
hingga anak-anak kecil
tidak mengerti
untuk kembali menjadi
generasi rumah kaca
yang berperibadi

Ahad, 19 April 2009

KITA BINA SEGALANYA BERSAMA

Bumi yang kita pijak
dengan kudrat dan hasrat ini
adalah hamparan keramat
daripada titisan keringat nenek moyang kita
yang berjuang menyekang perit
memayungi kemerdekaan
menjulang peradaban
demi maruah dan harga diri
sebagai Melayu sejati agar nanti,
anak cucunya tidak lagi mengemis
di tanahnya sendiri!
Sejarah itulah mendewasakan kita
membina makna dengan nilai sejagat
yang semakin mendesak pesat kehidupan
yang terlaksana dari untaian-untaian harga
sebuah kemakmuran
yang bertunjangkankeutuhan ekonomi
ligat menabur khidmat
buat masyarakat harmoni
bersemangat kuat
menjana makna sebuah negara
yang tercintaMalaysia!
Lalu masa depan
perlu kita pacakkan kemenangan
berlandaskan kematangan ilham
merencana ekonomi negara,
ekonomi kita,
bersama mengira untung rata dirasa,
nikmat sepakat diguna
kerana kita bina segalanya bersama
agar nanti tidak ada yang merana
dan terseksa di tanahnya sendiri,
asal bijak mengerti
untuk apa berkorban berkali
mengisi ekonomi diri
dengan rasa dan minda
demi diri, bangsa, agama dan negara!

Khamis, 16 April 2009

BAHASA YANG BASAH

Kemarau yang tiba di ladang bangsa mengering segala hijau rasa dalam tunas bahasaku yang masih setia menjejak langkah yang ditinggalkan pada musim bunga bangga ketika menyubur segar
Dalam kemarau itu bahasaku tetap gagah melangkah sambil membawa bejana perjuangan dari perigi akar bangsa yang telah zaman-berzaman membasah rongga bicara bangsaku yang satu
Bagi bahasaku perjalanan ini perlu diteruskan walaupun bakal kudrat cuma sebejana cita ketika merentas gurun gusar yang dipenuhi debu pemodenan dengan angin globalisasi meniup segenap penjuru pembangunan
Sesekali bahasaku tersungkur apabila langkah martabat tersandung akar malu tentang yakin bahasaku masih belum mampu membawa arah tuju bangsaku yang satu
Tetapi bahasaku tidak resah pada setiap waktu pasrah kerana bahasaku adalah aku dari bangsa yang satu
Nah, bahasaku masih basah di bibir yang rekah!

Rabu, 15 April 2009

WAJAH KENANGAN


Menyapa wajah kenangan yang tertinggal di lubuk waktu adalah rakaman rindu ketika melalui jalur rasa dengan suasana berbeza dan ia begitu mengasingkan makna keasyikan yang dahulunya tercatat satu keindahan murni
Menatap wajah kenangan yang pernah mengukir cinta adalah gamitan kasih dengan seribu pertanyaan tentang senyum yang hilang di kaki tangga usang dan sesekali merubah nada lagu-lagu kenangan itu
Merenung kembali wajah kenangan sebenarnya cukup menyedarkan tentang nafas-nafas ini adalah lingkaran rasa yang semakin tertinggal mengisi penentuan antara kini dan masa depan
Wajah kenangan bukan sejarah silam tetapi kisah bagi anak cucu di masa lapang.

Selasa, 14 April 2009

MATLAMAT

WATIKAH TUHAN

Bacalah watikah tuhan dengan nada dan makna
agar hati menjadi lembut selembut bayu pagi
ketika membelai untaian-untaian khusyuk
menyelami cerita-Nya

Bacakanlah cerita tentang hisab
dari pengertian tuhan dan insan
lalu bertanyalah pada diri sejujurnya
tuhan itu untuk siapa, insan itu baginya siapa
kerana yang terpikul adalah tanggungjawab
ketika menemui-Nya nanti

Bacakanlah juga cerita tentang azab
dengan pesan dan ingat sewaktu sambaran-sambaran neraka
menjalar-jalar dari tika ke tika
sedangkan hiruk pikuk dan juga jerit raung penghuninya
semakin kedengaran merayu kepada-Nya

Kemudian, ceritakanlah tentang nikmat
dari taman yang syahdu
dengan pohon-pohon yang rendang
juga di aliri sungai-sungai lembut
sehingga terasa amat sapaan angin
begitu segar dan harum ;
ah…terasa benar rindunya
ingin menemui-Mu

Isnin, 13 April 2009

BUAT YANG TERISTIMEWA

DALAM NAFAS BIDADARI
(buat seorang isteri mithali)

Dalam nafas bidadari
ada harum meniti nafas
memugar jalur pelangi cinta
di pautan senja yang rebah
selepas hujan renyai
tanpa angin selatan

Pelukan saujana mesra
adalah canda kehangatan
yang terukir di setiap cinta
engkau, seorang wanita
jelmaan bidadari
hantaran pencipta teragung
dan aku, lelaki yang sentiasa
terpesona memintal kasih
terpukau menggenggam setia
pada janji kepada-Nya

April 2009
Kuala Lumpur

Ahad, 12 April 2009

AKU DI KOTA BERNAMA KUALA LUMPUR

Aku di kota Kuala Lumpur
melangkah dengan tekaan yang celaru
mencari arah dengan persoalan demi persoalan
dan aku temui jawapan yang tidak pernah jujur
kerana di kota Kuala Lumpur ini
aku diajar mencaci dan memperli
memerhati dan meneliti
kerana jalan yang terdampar nyata
teramat luas dengan goda menduga
teramat jauh dengan puja harta benda
hingga aku keletihan bertanya.

Aku di kota Kuala Lumpur
masih juga mahu begitu pasti
membina kehidupan ini tanpa suram bangga
agar keinsanan yang sering pura-pura
tidak meleburkan aku dalam jitu janji
dan aku perlu mempelajarinya dengan tekun
atau aku akan terhumban dalam kebuluran
yang amat menyeksa.

Kini aku masih setia di kota Kuala Lumpur
ditimbuni keliru waktu yang melulu
antara siang dan malamnya tanpa beza
menerjah dalam setiap detik penilaian
dengan kerlipan neon kebebasan
juga debu-debu keterbukaan
dan aku benar-benar menjadi keliru
tentang di mana keberadaan aku di sini
membina sebuah kehidupan
bersama-sama anak isteri
yang belum mengerti

Apakah aku masih di kota Kuala Lumpur ini
bermimpi dalam realiti
memanjang sehingga di hujung hari?

Rabu, 8 April 2009

PEMAHAT KATA

(Delima Pejuang Bahasa Melayu)

Alam bahasa
penuh seni bicara
bagai bunga pagi
mekar harum sukma
mengisi taman budaya
sebuah kota bangsa

Disinilah pemahat kata;
mengukir kias budi
pemurni suci hati
mentafsir nilai fikir
melakar akal tamsil
memaknakan jati rasa
bangsa yang berperibadi

Kini, taman budaya ini
kian sepi
setelah pemahat kata
mati tertimbus ruap kota
yang tidak lagi punya bangsa!

3 Mac 2009
Kuala Lumpur

Isnin, 6 April 2009

TAMAN IMPIAN

Hidup ini adalah dakap pasti
terbina dengan keringat
sebuah harga diri
dicurah tanpa bantah
pada tangungjawab dan amanah
sebagai seorang insan dengan alam
kerana ia adalah perjanjian
yang sementara

Hidup ini adalah cerita singgah
terbina dengan rasa
mencipta cinta
pada murni dan suci
sebagai seorang hamba kepada tuhan
kerana ia adalah ikatan
yang panjang

Hidup ini
adalah lorong perjalanan
menuju ke taman impian
terbina dengan amal dan doa
hingga tertunas pengharapan
pada usaha dan pasrah
kerana ia adalah jaminan
satu kepastian

Taman impian
adalah taman sejati
yang akan terbuka pintunya
pada kehidupan abadi

Ahad, 5 April 2009

BERIKAN AKU BULAN

Berikan aku impi
dengan angin bugar
mengisi hela yang resah
pada setiap pilu erti
yang menjelma
menjadi titik-titik dosa

Jangan berikan aku
noda kata
mengisi malam sepi
atau tingkah sasar
dalam jejak rasa
untuk mengintai hidup
penuh tafsir
kerana esok pagi
aku pasti
mendamba kesal
menjadi perit

Ah, berikan saja aku bulan
pada malam ini
walau hanya dalam dakap awan
untuk aku lontar sinar yang suci
menyeri sunyi yang telah lama mati!

Khamis, 2 April 2009

Sempena Hari Ibu Pada Bulan Mei Nanti

KUCUPAN KASIH IBU
(sempena Hari Ibu )

Memintal rangkap kasih
dalam dakap rindu semalam
ada bicaranya yang tidak pernah putus
mengiring doa kudus di setiap nafas hidup
aku yang bergelar seorang anak.

Penat lelahnya menjadi canda
mengisi segenap ruang kedewasaan
pada setiap langkah di alun kembara
menjejak makna cinta suci seorang ibu
di perdu rasa anak sepertiku

Kini, kasihnya itu tidak pernah layu
meniti waktunya yang semakin lesu
kerana dia seorang ibu yang mengerti
tentang cinta dan kerinduan
untuk memugar sayang yang panjang
dalam kilas alam kehidupan
yang seketika ini.

Terima kasih ibu,
kerana mengajar aku
erti makna hidup ini
dalam kucupan kasihmu!

Rabu, 1 April 2009

MELIHAT SEJARAH

Kita seakan tidak mahu
meneliti sejarah yang tinggal
setelah sekian lama kita dahagakan
aura masa depan dalam hitungan waktu
yang kita lalui, hingga tidak ada makna
keperitan yang selama ini memamah perjalanan
warisan keperibadian kita yang masih di sini
bersama sejarah penjajahan

Kita hanya membisu
apabila kita diajar meneka
makna silam yang panjang
dan arah tuju yang jitu hingga enggan peduli
rela yang selama ini memaksa kita menerima
apa sahaja terpapar di depan kerana kita tidak mahu
dianggap masih buta menilai sebuah sejarah
yang pernah kita lalui di bumi ini

Kita tinggalkannya bersama satu pertanyaan
yang mungkin tidak kita temui jawapan

Kini, setelah kita menjadi cukup dewasa
untuk melihat sebuah sejarah,
kita hanya memejamkan mata
mengisi makna keperitan yang telah kita rela
menjadi sebuah persoalan yang tidak pernah dipeduli

Kita masih mampu menoleh
membiarkan sejarah berlalu
membawa pergi nilai kita yang sejati
tanpa rasa bersalah!