(Buat generasi muda dengan Ogos yang mendatang)
Mengira waktu dalam lebat hujan bulan Ogos
payahnya bagai menghitung jatuhan di takungan resah
yang semakin tidak dipedulikan oleh perit kecelaruan
pada jalur-jalur titisan di wajah perjuangan
kerana desir angin yang hadir dari setiap penjuru keliru
telah menjadi laungan asyik yang penuh sangsi
mengisi ruang kejituan makna sebuah kemenangan
Lantas, seorang lelaki menetapkan pendirian diri
dengan segala kebasahan yang amat kuyup
mengisi segenap slogan dan pengertian kedinginan
yang hampir membungkam sejarah silam dalam banjir rasa
dan pada suasana yang sesingkatnya itu,
dia menjadi kosong dan tidak lagi berjiwa
Kemudian, seorang wanita membuka payungan peribadi
untuk cuba menyembunyikan keghairahan yang walang
meniti satu titik ke titik pemurnian tanpa soal
dengan kalimat serta madah keindahan
kisah demi kisah nenek moyang
dan dia akhirnya menjadi tersipu malu
tanpa maruah dan harga diri
Kini, lelaki dan wanita itu masih dalam kehujanan
di sebalik muka hari yang mula menampakkan kebiruan
dan mereka membuat janji setia
mengukir sumpah perjuangan
di celah-celah waktu yang sesingkat itu
pada senja Ogos tanpa pengertian baru!
April 2009
Kuala Lumpur
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan